Friday, January 5, 2018

"Bangun 6 Pagi Ke Sekolah, Balik Rumah Semula Pada 6.15 Petang", Bapa Suarakan Pendapat, Rutin Murid Sekolah Kini Amat Memenatkan


Permulaan yang penat bagi anak-anak yang baru mula melangkah ke tahun satu. Jika dahulu ke tadika pasti akan pulang pada jam 12 tengah hari. Tapi apabila melangkah ke tahun satu ini, sudah pasti separuh masa akan berada di sekolah. Bangun seawal 6 pagi untuk ke sekolah kebangsaan dan akan pulang semula pada pukul 6 petang selepas selesai ke sekolah agama.

Sudah pasti ibu bapa lihat mereka ini akan pulang dengan muka keletihan. Namun itu yang perlu ditempuh anak-anak ini sehingga ke sekolah menengah. Masa yang terluang untuk bersama kedua ibu bapa juga akan semakin berkurangan. Bak kata pepatah bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian.

Seorang bapa Akhtar Syamir, membuat perkongsian kisah anaknya yang mula menjejaki ke tahun satu yang melalui rutin-rutin yang memenatkan. Apa-apa pun selamat menempuhi alam persekolahan adik Jasmine.


Anakku Nursyuhada Safiyya Jasmine. Nanti dah besar, kalau ada kesempatan, baca luahan hati papa nie ye.

04 Januari 2018.

Pagi tadi masa #kakakJasmine tak nak bangun mandi, papa dah risau. Mesti kakak mengantuk lagi. Walaupun kakak tidur pukul 10 malam semalam, papa faham kakak penat dengan sekolah dua sesi.

Kakak perlu bangun seawal pukul 6. Pukul 6.55 dah kena naik van ke sekolah KAFA. Habis KAFA pukul 10.30, kakak akan naik van balik ke rumah. Sampai rumah dalam hampir pukul 11 pagi. Kakak akan dapat rehat sekejap dan makan tengahari yang mama masakkan. Pukul 12 kakak kena mula bersiap sebab van sampai pukul 12.30 untuk ke sekolah kebangsaan.

Kakak sampai sekolah dalam pukul 1 tenghari dan akan habis pukul 6.15 petang. Papa dapat bayangkan minggu pertama ni kakak mesti takut, kakak mesti rindu kat papa dengan mama. Sebabnya masa hari pertama sekolah, masa nampak papa dengan mama dekat pagar sekolah, kakak nangis sebab rindu kat kami. Papa bangga kakak dapat tahan ketakutan dan kerinduan kakak sampai habis waktu sekolah.

Hari kedua ke sekolah tanpa sebarang insiden. Semuanya berjalan lancar. Papa bayangkan yang kakak dah biasa dengan rutin persekolahan. Tapi papa silap.

Hari ketiga kakak lambat bangun tidur. Kakak mengantuk. Selepas berkali-kali kejut baru kakak mandi. Mama ade buatkan milo untuk kakak. Pagi-pagi mama dah bangun siapkan sarapan dan bekal untuk kakak bawak pergi sekolah. Mama kecewa kakak tak nak habiskan milo tu. Nasib baik papa dapat pujuk kakak supaya habiskan.

Bila nak turun ke bawah untuk tunggu van datang, kakak pegang tangan papa dengan kuat. Papa tau kakak mesti nak nangis ni. Papa mengaku yang papa memang manjakan kakak. Jarang sangat papa marah kakak sebab papa tau kakak macam mama jugak, hatinya lembut sangat. Mudah tersentuh dan sangat-sangat manja.

Bila van dah sampai, makin kuat kakak pegang papa. Lepas tu kakak nangis. Kakak cakap kakak rindukan papa. Alahai.. Papa rasa nak nangis sekali tadi tau. Papa peluk kakak rapat-rapat. Papa pujuk kakak baik-baik. Papa letakkan kakak kat tempat duduk dalam van. Tapi kakak terus sedih sampai terbatuk-batuk.

Kakak kalau batuk-batuk memang akan termuntah. Papa dah cuba tahan tapi abis air milo tadi terkeluar. Kotor terus tudung, baju dan kain sekolah kakak. Kecewanya papa masa tu. Tapi papa kesian sangat kat kakak. Papa pun bawak kakak naik untuk tukar baju semua.

Sampai kat atas, papa cuba untuk tahan marah. Tapi kakak terus merengek. Papa terpaksa tinggikan suara supaya kakak tau apa yang kakak buat ni tak betul. Papa mintak maaf. Papa dah terlambat nak pergi kerja. Mama pun terpaksa gosok baju dan kain sekolah yang lain. Bila kakak cakap "janganlah marah comey", dalam hati papa meraung kuat-kuat tapi papa peluk kakak sebagai tanda maaf. Papa nak kakak kuat. Sebab papa sebenarnya tak kuat pun. Papa terpaksa je berlakon kuat. Papa tak boleh tengok kakak nangis. Hati papa jadi kecik sangat.

Dalam perjalanan tadi kita lalu Pre School kakak. Kakak sempat tengok dan cakap "sekolah comey dah bukak dah pa". Papa cakap tu bukan sekolah comey dah. Kakak jawab perlahan "tau...". Papa nangis lagi mase taip nie.

Masa papa hantar kakak tadi papa pimpin kakak masuk dalam sekolah sebab kakak kata tak hafal lagi macam mana nak pergi kelas. Kakak genggam jari papa kuat. Sampai kat tangga papa bagitau macam mana nak pergi kelas. Lepas kakak salam cium tangan papa, papa pun cium dahi kakak, papa tengok kakak pergi. Lepas tu kakak patah balik untuk peluk papa. Ya Allah, papa nak nangis sangat tapi papa tahan. Masa taip nie pun air mata papa mengalir teringatkan keadaan tadi. Papa tengok kakak naik tangga sambil diasak-asak oleh budak lain yang lebih aktif. Sebak sangat rasanya.

Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah anakku kekuatan untuk menjalani kehidupannya. Sesungguhnya aku terlalu lemah.

Papa dengan mama sayang kakak sangat-sangat tau. Kakak besar nanti jadi insan yang baik ye. Kalau kakak tak dapat cemerlang dalam pelajaran pun takpe. Papa tak marah. Kakak cuba je yang terbaik. We will always love u comey.

BroOhsem - Budak umur 7 tahun bersekolah selama 8 jam sehari. Tak termasuk masa ulang alik ke sekolah. Macam masa bekerja dah. Adakah saya tersilap? Saya betul-betul rasa tak adil bagi budak untuk alami stress sebegini.

Sumber - Akhtar Syamir

0 comments

Post a Comment