Monday, February 12, 2018

Isu Doula: KKM Sahkan Kes Bayi Jalani Kelahiran Tidak Selamat Mati Akibat Sesak Nafas Selepas Dilahirkan Sonsang


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan kematian seorang bayi di Johor Bahru yang tular di media sosial baru-baru ini bukan disebabkan khidmat 'doula' atau pembantu. Bayi tersebut disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas setelah kepala bayi tersangkut di perineum ibu semasa melalui kelahiran songsang di rumah.

Kes kematian bayi yang dilahirkan secara 'homebirth' itu menjadi viral di Facebook kerana doula didakwa menyebabkan bayi berkenaan meninggal dunia akibat komplikasi ketika kelahirannya di bawah pengawasan doula terbabit.

Menurut kenyataan KKM, individu yang menyambut kelahiran bayi tersebut tidak bertauliah untuk mengendalikan kelahiran bayi dan bukan merupakan anggota kesihatan.

Berikut merupakan kenyataan yang dikeluarkan oleh KKM seperti di bawah.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum penularan di media sosial, pandangan yang diutarakan oleh NGO perubatan serta laporan di media cetak/elektronik tempatan mengenai kes kematian seorang bayi selepas menjalani kelahiran tidak selamat (unsafe delivery) di Johor Bahru. 

Seperti diketahui umum, KKM ingin mengesahkan bahawa bayi tersebut telah meninggal dunia akibat sesak nafas (asphyxia) setelah kepala bayi tersangkut di perineum ibu semasa melalui kelahiran songsang (breech delivery, footling presentation) di rumah pada 4 Februari 2018. 

Kelahiran bayi tersebut telah disambut oleh individu yang bukan merupakan anggota kesihatan dan tidak bertauliah untuk mengendalikan kelahiran bayi. KKM juga ingin menzahirkan dukacita di atas pemergian bayi ini dan mengucapkan takziah kepada kedua ibu bapa serta keluarga bayi tersebut.

KKM mengambil maklum kenyataan Ketua Polis Negeri Johor pada 9 Februari 2018 bahawa pihak polis Negeri Johor telah memulakan siasatan kes, dan juga kenyataan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada 12 Februari 2018 mengenai hasil siasatan polis setakat ini.

Memandangkan pihak KKM juga mempunyai bukti dan saksi bagi kes ini, adalah dimaklumkan bahawa pihak Hospital Sultan Ismail telah turut mengemukakan laporan kepada pihak polis. Buat masa ini, masih belum ada kakitangan KKM yang dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan.

KKM sememangnya memandang serius dan amat kesal dengan kejadian kematian bayi ini, terutamanya kerana ianya merupakan kes yang boleh dielakkan (avoidable infant mortality). Kepesatan bidang kesihatan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif kesihatan Ibu dan Kanak-kanak (Maternal and Child Health) terutamanya sepanjang era pasca Kemerdekaan Malaysia telah menyaksikan pengurangan mendadak kes kematian ibu dan bayi ke tahap yang amat rendah, hampir setara dengan negara-negara maju. 

0 comments

Post a Comment