14 Feb - Pelakon popular era 80-an yang dikenali menerusi filem Ali Setan, Azmil Mustapha meninggal dunia sekitar pukul 1 tengah hari tadi di kediamannya di Seksyen 9, Shah Alam.
Memetik laporan Berita Harian, menurut adik kepada Allahyarham, Aziq Mustapha, arwah difahamkan meninggal dunia sewaktu tidur kerana tidak terjaga ketika dikejutkan.
Allahyarham meninggalkan dua bekas isteri dan lima anak. Berita pemergian Azmil dikongsi anak lelaki tunggalnya, Mohd Bazli kepada BH Online, sebentar tadi.
"Kami akur dengan ketentuan ini. Pahit untuk ditelan tapi Allah lebih menyayangi bapa kami.
"Setakat ini, saya tidak dapat pastikan dengan tepat bila arwah bapa akan dikebumikan," katanya.
Ketika hayatnya, Azmil pernah dua kali mendirikan rumah tangga. Dalam perkahwinan pertama, Azmil dikurniakan anak perempuan, Shamira. Azmil juga memiliki empat anak iaitu Nurazalea Arifah, Nor Amalia Batrisya, Mohd Bazli Zhafri dan Nur Alia dalam perkahwinan keduanya.
Sejak dua tahun lalu, keadaan kesihatan Azmil yang banyak membintangi filem box office era 1980-an seperti Ali Setan, merosot dan pernah dilaporkan kritikal.
0 comments
Post a Comment