Tuesday, February 6, 2018

Dedah Penyata Baki Akaun NFC, Rafizi Ramli Dijatuhi Hukuman Penjara 30 Bulan


7 Feb - Mohd Rafizi Ramli yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijatuhkan hukuman penjara selama 30 bulan oleh Mahkamah Seksyen Shah Alam, hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank termasuk milik National Feedlot Corporation (NFC).

Hakim, Zamri Bakar turut menjatuhkan hukuman itu ke atas bekas kerani bank Johari Mohamad, 47, yang didakwa bersubahat dengan Rafizi bagi mendedahkan dokumen penyata baki akaun NFC National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.
Zamri memutuskan hukuman tersebut dalam penghakimannya selepas mendapati pendakwa berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah ke atas kedua-dua tertuduh.

"Mahkamah meneliti keseluruhan kes dan membuat penelitian maksimum terhadap hujahan pendakwaan serta pembelaan itu. Kedua-dua tertuduh disabitkan atas kesalahan itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau turut membenarkan penangguhan hukuman ke atas mereka sehingga keputusan rayuan dengan mengekalkan kos ikat jamin RM15,000 seorang.


Rafizi sebelum ini mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank itu kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.

Ahli Parlimen Pandan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya pada 7 Mac 2012.

Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Johari, 44, mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103 akta sama.

Rafizi diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid dan Mohd Falihin Kamil Mohd Sazali manakala peguam Latheefa Koya yang mewakili Johari.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali dan Steve Chin. - Siakapkeli.my

0 comments

Post a Comment