Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah pepatah yang boleh menggambarkan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh si kecil ini.
Sejak lahir, hanya tangisan kesakitan sahaja yang didengari. Tanyalah hati ibu bapa mana pun, siapa yang tidak hancur melihat anak seusia enam bulan sudah menangung kesakitan sebegini. Kita yang melihat pun merasa sakit, apatah lagi yang melaluinya.
Muhammad Aqra Amsyar Mohd Amin, bayi comel yang disahkan menghidap penyakit pure oesophegal atresia atau tiadanya saluran makanan yang menghubungkan bahagian perut ke usus.
Menurut ibunya, Fatirah Mohd Noor, 33, doktor mengesahkan anak keduanya menghidap penyakit yang jarang-jarang berlaku itu selepas dua jam kelahiran apabila bayinya tidak normal selepas dilahirkan.
Sejak itu Muhammad Aqra memerlukan pemerhatian dan tidak boleh ditinggalkan sendirian kerana bimbang terutama ketika membuang najis.
Bayangkan, badan anak kecil itu juga ditebuk sejak dilahirkan untuk memasang salur khas ke bahagian badannya bagi membuang najis. Alat atau mesin khas itu juga sangat diperlukan kerana perlu diganti dengan baru.
Disebabkan memerlukan penjagaan rapi, si suami Mohd Amin Sirus, 45, terpaksa berkorban kerana tiada pilihan dengan berhenti kerja bagi menjaga Muhammad Aqra beberapa bulan lalu.
“Kami jaganya bergilir-gilir, yang suami menjaga di waktu siang apabila saya bekerja dan saya sendiri akan menjaganya pada waktu malam,” kata Fatirah ketika ditemui sumber di kediamannya di Parit Bilal.
Menurutnya, mereka berasal dari Sri Medan dan menyewa di rumah berkenaan kerana tempat tinggal berhampiran dengan tempat kerjanya yang memudahkan dia berulang-alik serta berhampiran dengan hospital.
Dia juga perlu ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, setiap minggu untuk rawatan dan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru juga setiap minggu bagi pemeriksaan rutin untuk pembedahan.
Mengakui agak terbeban dengan keadaan ini terutamanya berulang-alik ke HSA dan dalam masa bulan ini sahaja beliau telah menghabiskan wang sekitar RM18,000. Anggaran perbelanjaan kos setiap hari sahaja mencecah RM100.
Dengan gaji RM1,000 setiap bulan menurutnya dia bimbang pada masa akan datang dia tidak lagi mampu untuk menampung perbelanjaan anak bongsu mereka termasuklah urusan pembedahan nanti.
“Buat masa ini pihak hospital masih belum menyatakan kos pembedahan berkenaan yang akan menyambungkan ususnya untuk menjadi salur makanan, dan sepatutnya ia perlu dilaksanakan dengan kadar yang segera,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi talian 012-747 1797 atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun bank CIMB 7611983622.
Sumber : Sinar Harian
0 comments
Post a Comment