Home /
Safe /
Semasa /
''Perlu Ke Kita Undur Ke Belakang? Tidak, Jangan Sesekali'', Cikgu Ini Tidak Bersetuju Dengan Cadangan Gubal Semula Silibus Tahun 1
Wednesday, May 23, 2018
''Perlu Ke Kita Undur Ke Belakang? Tidak, Jangan Sesekali'', Cikgu Ini Tidak Bersetuju Dengan Cadangan Gubal Semula Silibus Tahun 1
Date - May 23, 2018
Safe
Semasa
Baru-baru ini tular mengenai satu perkongsian yang mencadangkan kerajaan baru melalui Kementerian Pendidikan untuk menilai dan menggubal semula silibus pendidikan untuk pelajar-pelajar sekolah rendah terutamanya pelajar Tahun 1.
Melaui perkongsian tersebut, dikatakan ada pelajar-pelajar yang tertekan dek kerana soalan yang terlalu mencabar dan tidak sesuai dengan tahap umur mereka.
Walaupun pendapatnya disokong ramai pihak, namun ia berbeza dengan pandangan Cikgu Mohd Fadli Salleh. Berliau berkongsi pengalamannya dalam mendidik pelajar-pelajar sekolah rendah memandangkan subjek yang dibangkitkan adalah matapelajaran yang diajarnya selama 13 tahun.
Jom baca perkongsiannya di bawah dan berlapang dada untuk berbeza pendapat.
SILIBUS MATEMATIK TAHUN 1 BERAT DAN PERLU DIMANSUHKAN?
Pagi ini, aku akan menulis satu tulisan berat. Tulisan yang membawa kita semua berfikir semula dan menilai semula.
Ya, satu tulisan yang ramai akan tidak setuju dan tidak sependapat. Tidak mengapa, tidak sependapat itu tiada salahnya. Cuma bawalah fakta dan hujah dengan matang, bukan melenting kebudak-budakan.
Aku terbaca tulisan Cikgu Zf Zamir tentang isu silibus Matematik ini. Silibus Matematik Tahun 1 KSSR Semakan. Tentang ketidak sesuaian silibus ini dengan tahap anak-anak kita.
Izinkan aku tidak bersetuju dengan cikgu Zf Zamir dan sebahagian ibu bapa kali ini ya.
Aku respon hal ini bukan nak perang dengan beliau atau mencari masalah dengan ibu bapa yang tak setuju.
Aku menulis kali ini kerana ini kepakaran aku. Ini kemahiran aku. Ini apa yang aku ajar sudah 13 tahun lamanya.
Ya tuan, aku mengajar Matematik Tahun 1 sudah 13 tahun. Jadi tulisan ini bukan hanya pendapat semberono, ini pendapat orang yang melalui sendiri setiap kali perubahan silibus di negara kita.
Inilah orangnya yang layak bicara dengan tenang dan matang isu silibus ini.
Suka aku maklumkan terlebih dahulu, aku ini pernah mengajar di sekolah pedalaman, sekolah asli 4 tahun, sebelum ke sekolah kluster lebih 6 tahun, dan sekolah bandar lebih 2 tahun. Aku juga mengajar dari kelas paling depan hingga paling corot.
Jadi tulisan ini menggambarkan penilaian aku secara menyeluruh terhadap murid berbeza aras yang ada.
Tuan, silibus baru ini (khusus Matematik sahaja) sebenarnya sangat baik. Silibus baru ini mampu murid faham dan ikuti. Cuma kena ada penambahbaikan sedikit dibeberapa tempat.
Silibus kita, ianya berturutan dan berkesinambungan dari tahun satu dua dan seterusnya.
Mereka mula belajar pengenalan kepada bundar, gundal, garis nombor/pola nombor dan penyelesaian masalah.
Hanya pengenalan dan murid mampu faham dengan baik. Lagi pun, setiap soalan itu dibimbing guru. Bukan suruh murid buat buta-buta.
Apa perlu kita undur ke belakang? Tidak! Jangan sesekali.
Silibus yang anak-anak kita belajar ini setanding dengan silibus Singapore, UK, US dan negara maju yang lain.
Aku pernah lihat soalan Matematik tahun satu Finland. Malah soalan dari US dan UK kerana sahabat aku ada menetap di sana.
Di sini pula aku lampirkan contoh soalan murid Tahun Satu dari negara jiran, Singapura.
Lihat aras soalan mereka. Tidak jauh beza dengan apa yang anak-anak kita belajar sekarang. Silibus kita setanding!
Cuma perlu penambahan baikan yang Kementerian Pendidikan perlu perhalusi lagi.
Pertama, perbanyakkan guru pemulihan. Murid tidak mampu kuasai bukan sebab mereka tidak mampu. Sebaliknya ramai murid tercicir prasekolah dan latar belakang keluarga yang berbeza dan bermasalah.
Murid ini, jika berada di aliran perdana akan bermasalah. Datang sekolah pun On Off sahaja.
Jika yang belum kenal huruf dan nombor ini berada di kelas pemulihan dan berjaya dipulihkan, mereka mampu faham dan ikuti silibus kita dengan senang.
Kedua, kurangkan masa matapelajaran elektif yang lain, dan tumpukan pada matapelajaran utama untuk tahap 1.
Kembalikan 10 waktu mengajar Matematik untuk murid tahun satu. Sekarang, waktu belajar murid hanya 5 waktu. Diulang, 5 waktu seminggu sahaja.
Ya tuan, ini ramai orang terlepas pandang. Dari tahun ke tahun, waktu belajar Matematik dari 10 masa dikurangkan pada 8 masa. Kemudian dikurangkan pada 6 masa. Dan terbaru, hanya 5 waktu seminggu.
Mana sempat guru memberi faham dalam waktu yang singkat. Sedangkan silibus makin berat.
Di sini silap kita. Menyelitkan mata pelajaran baharu dengan memendekkan mata pelajaran penting seperti Matematik, Bahasa Melayu dan English. Menaikkan jumlah waktu mengajar subjek bukan teras dengan mencuri waktu belajar mata pelajaran teras.
Itu pun kerajaan lama tidak sedar juga kesilapan mereka. Masih mahu memperkenalkan mata pelajaran baru, Pendidikan Alam Sekitar.
Nak selit masa tu celah mana lagi? Nak kurangkan lagi masa Matematik yang dah nazak dicuri?
Aku percaya dan yakin, jika guru pemulihan diperbanyakkan serta waktu mengajar Matematik dikembalikan kepada 10 waktu semula, peratus kejayaan yang lebih tinggi dalam memberi faham pada murid akan meningkat mendadak.
Ketiga, guru diberi pendedahan dan kursus cara mengajar yang mudah untuk memberi faham pada murid.
Kembalikan kursus-kursus guru seperti dulu kala. Guru zaman sekarang tidak lagi berkursus seperti dulu-dulu kerana bajet pendidikan banyak dipotong oleh kerajaan lama. Nak beli kertas A4 pun terpaksa minta dengan murid.
Silibus baru diperkenalkan sedangkan guru tidak bersedia pun untuk mengajar perubahan yang ada dalam silibus baru.
Ini satu lagi kesilapan besar yang berlaku. Di sini bermula masalah bila guru sendiri yang kata silibus itu payah.
Sedangkan mereka tidak terokai cara mudah, mereka tidak jumpa cara bagaimana memberi faham kepada murid dengan cara yang santai dan senang kerana mereka tidak dikursuskan.
Ada pula yang komen begini,
"Orang dulu belajar silibus lama pun boleh jadi pandai dan bijak juga."
Aduh bang. Tidak kena tu komen tu bang. Cuba bayangkan jika kerajaan kekalkan silibus sejak zaman belum merdeka lagi dengan alasan sama. Padahal Tunku Abdul Rahman bijak kot. Silibus Tun Mahathir belajar dulu jauh lebih senang kot. Tapi Tun sendiri yang memperbaiki silibus kita dari masa ke semasa.
Silibus KSSR Semakan ini sebenarnya sesuai dengan zaman, kemajuan dan aras murid-murid zaman sekarang. Sesuai untuk generasi akan datang bersaing secara global.
Sesuai dan mereka boleh ikuti dengan baik. Malah jika kelemahan besar iaitu guru pemulihan, jumlah waktu mengajar itu diperbaiki serta guru-guru bersedia, aku yakin dan percaya silibus ini akan lebih berjaya lagi.
Negara maju lain silibus mereka dah terkedepan. Takkan kita yang sedang menyaingi cuba undur ke belakang?
Cikgu Zf Zamir ada cadangkan supaya mansuhkan topik bundar, gundal, pola nombor dan penyelesaian masalah.
Topik itu tiada masalah pun untuk murid ikuti. Langsung tiada masalah. Bahkan aku sendiri sudah muat naik video cara yang betul untuk ajar anak belajar bundar yang kononnya dimomokkan topik yang paling sukar di tahun satu.
Lebih 2 juta view untuk kedua video bundar yang aku muat naik. Semua yang lihat dan tonton kata betapa senangnya ajar topik itu jika kena dengan caranya.
Murid? Memang dapat kuasai elok topik ini. Tiada masalah kerana pada tahun satu, topik ini hanyalah pengenalan buat mereka.
Cuba baca dengan tenang. Hadam baik-baik.
Tulisan ini ditulis dengan hujah dan fakta berasaskan pengalaman aku sebagai guru Matematik tahun satu berbelas tahun.
Bukan hanya omong kosong. Bukan sekadar tin kosong.
Ini tulisan bukan sembang kedai kopi. Ini tulisan bukan sembang kari.
Tiada masalah jika tidak sependapat. Itu membuka peluang berbincangan ilmiah yang sihat.
Cuma jangan datang respon dengan emosi dan tanpa hujah ilmiah. Komen berdasar skop yang kecil, hasilnya tidak ke mana.
Jadilah helang yang melihat dengan lebih luas, bukan puyuh yang hanya terbang rendah.
Gambar contoh soalan Tahun Satu dari Singapore ini aku ambil dari sahabat aku, Sir Rajinder Singh, seorang tutor persendirian yang hebat.
Aku percaya beliau membaca artikel aku ini dengan senyuman dimuka. Kerana gaya pemikiran kami sama.
Sumber : Mohd Fadli Salleh
Share this
Related Articles :
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Paling Dilihat
-
Wanita moden kini semakin berpengetahuan dan ambil tahu akan kepentingan menjaga kesihatan untuk mengelakkan sebarang risiko penyakit membun...
-
Seorang wanita tahun tahun lalu telah menjadi buah mulut netizen melalui media sosial kerana resepi susu pekat manis buatannya sendiri telah...
-
Rata-rata ibu bapa menginginkan yang terbaik buat anak mereka. Namun, atas sebab-sebab tertentu seperti keadaan ekonomi keluarga yang tidak...
0 comments
Post a Comment